Volkswagen Group Malaysia (VGM) telah mengotakan janji mereka untuk membawa masuk unit Polo Sedan ke pasaran Malaysia. Dilancarkan secara rasmi pada 19hb. April 2012, kereta sedan kompak yang diimport CBU daripada India ini mengetengahkan teknologi dan kualiti dari Jerman yang boleh dipercayai.
Diwar-warkan sebagai sebuah model keluaran Volkswagen yang paling berkemampuan untuk dimiliki, Polo Sedan tidak didatangkan enjin 1.2 liter TSI dan kotak gear DSG 7-kelajuan seperti mana versi hatchbacknya, sebaliknya ia dijana enjin bersesaran 1.6L Multi Point Injection (MPI) dengan kotak gear automatik Tiptronic 6-kelajuan yang menawarkan kuasa setinggi 103hp dan 153Nm tork maksimum.
Polo Sedan menawarkan reka bentuk keseluruhan sederhana dan tidak terlalu radikal, dikatakan sebuah kenderaan penumpang 5 tempat duduk yang sesuai untuk keluarga mahu pun individu. Bahagian dalam menyaksikan papan pemuka ringkas dengan kusyen dibalut material fabrik, serta sentuhan kulit untuk roda stereng, bahagian batang dan tombol gear serta tuil brek tangan. Roda aloinya didatangkan dengan saiz 15 inci.
Ruang but di bahagian belakang pula seluas 454 liter, cukup luas untuk membawa banyak barang-barang dalam menempuh pelbagai aktiviti harian. Antara ciri-ciri keselamatan yang melengkapi model tersebut ialah empat beg keselamatan udara, sistem ABS dan EBD, termasuk kelengkapan Isofix untuk keselamatan tempat duduk kanak-kanak.
Bagi yang berminat untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan sebuah kereta berkualiti Jerman, Volkswagen Polo Sedan ditawarkan pada harga RM99,888.00, tidak termasuk pendaftaran cukai jalan dan insuran. Menambahkan lagi keyakinan, ia turut ditawarkan jaminan selama tempoh 5 tahun dengan jarak perbatuan tanpa had.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan